Biar kulagukan melodi cinta nan suci buatmu
Biar kusimpulkannya menjadi kenangan yang erat dalam hidupku
Ditemani damai malam yang tenang dan gemerlapan kilauan
bintang
Aku mahu mengubat rindu yang semakin hari semakin mendalam
terhadapmu
Izinkan aku membelai mesra pipi gebumu
Izinkan aku menyisir lembut rambutmu
Kala sang bayu berarak lembut mengulit sepi, aku mahu menemanimu
Saat percikan hujan menyentuh tubuhmu, biarlah aku
menyelimuti tubuhmu lantas mendakap erat tubuh kecilmu
Tiba malam, akan kuhamparkan sutera cintaku untuk mengalas
tidur asyikmu
Biar aku terus memerhati comel matamu melayari mimpi-mimpi
indah dan biar aku fahami seulas bibirmu yang selalu menyimpul senyuman padaku
Bila pagi membuka tirainya, bangunlah wahai Aryanna Emelda…
Hilangkanlah kerinduanku yang menggunung menanti jagamu
semalaman
Leraikanlah gundahku yang sunyi tanpamu, Aryanna Emelda
Rebahkan segala resahku dengan sentuhanmu
Aku mahu kau tahu segalanya yang ada dalam hatiku
Sayangnya aku padamu seluas samudera raya, seindah pesona
bidadari
Tatkala berjauhan darimu, rinduku membara
Cintaku berdarah kerana mengenangkan segala yang ada padamu
Rela aku berkolek di Selat Melaka, membelah samudera raya
untuk mendapatkanmu di seberang sana
Meski jalannya berliku, denainya berapi, akan kugagahi
Tiada aku kenal erti jemu menantimu, tiada istilah bosan
dalam perjalanan hidupku sewaktu mencarimu
Kerana kasihmu terlalu jujur, hadir tanpa dipaksa dan
terpaksa
Namun, satu persoalan masih lagi belum mampu kujawab
Apa pasti kau kutemu jua, Aryanna Emelda dalam hidupku?
(3.45 p.m.-4.00 p.m.,10 September
2004)
No comments:
Post a Comment