Total Pageviews

Friday, 27 January 2012

BUATMU ANNYSS SOPHILLEA


Persinggahanmu di hatinya banyak melukiskan detik-detik indah bersama
Ternyata lemahmu bukan bererti kalah
Dan lembutmu tidak bermakna menyerah
Sesuai dengan namamu persinggahan, kau hanya bertakhta seketika saja di hatinya
Saatnya pasti telah tiba kini
Persinggahan tentu menuntut perpisahan
Seterusnya pasti mengemis air matanya
Bak mutiara terputus dari rangkaian, gerimis sendu mula rebas dari matanya

Terlalu sejati kasih dan sayangnya untukmu
Seribu lautan sanggup direnangi, sejuta bintang pun sanggup dia lewati
Tak pernah dia curang daripada janji kasihnya
Tak ingin dia meruntun kepiluannya sebegini lama
Tatkala melayari resah gelisahnya,
ada sebutir bintang bersama cahayanya kian memancar lantas turun ke bumi
Dia mengerti, bayanganmu turut hadir dengan keindahan cahaya bintang
Dia turut mengerti, kau akan hadir tatkala namamu disebut

Sepertiku, dia tahu kewujudanmu di hatinya
Dia meyakini dirimu hanya akan wujud di tempat yang meyakini kewujudanmu saja
Begitu mendalam istilah kasihnya pada dirimu
Maka sisipkanlah di dalam ingatanmu bahawa dia pasti akan hadir dalam mimpimu di setiap malam

Mawar putih itu masih belum mungkir menaburkan wangiannya
Harum bunga seroja juga masih tak ingin meninggalkan tempatnya
Tatkala subuh mengundur diri apabila melihat matahari pagi,
dia sesetianya merinduimu dalam tiupan lembut bayu pagi
Kasihnya tak pernah pudar untukmu seperti hamparan permaidani hijau yang masih segar bermandikan embun
Dan dia tak akan berganjak menemani puterinya walau diugut kebencian dunia

Annyss Sophillea…
Sabarlah kau mengharungi hari-harimu tika dia tiada di sisimu
Tegarlah kau mengasihi dirinya walaupun hatimu terluka
Semarakkanlah kedamaian cintanya di mana jua kau berpijak
Dan bila panggilan abadi itu tiba menyerunya,
kau abadikanlah segala kesucian dan ketulusan kasihnya di dalam nalurimu
Jangan pernah berhenti menyebut namanya sewaktu kau menjalani kebahagiaan hidupmu…


(8.09 p.m.-8.37 p.m.
 Rabu, 28 Mei 2003)

No comments:

Post a Comment