Total Pageviews

Friday, 27 January 2012

DIVA STATIK ASMARA (Kasih Nur Aryanna Emelda)



Oh, kepada siapa lagi akan kukhabarkan kisah gembira yang berjelira di tangkai jiwa?
Kepada siapa harus aku bercerita episod bahagia yang terakam dalam memori epidermis atma?
Kepada kaliankah…?

Ini kisah benar, cerita bahagia yang terukir, tertulis malah terlorek dalam kanvas hayat, ingin sekali aku pampangkan kepada dunia
Semuanya bermula dari ikatan kasih yang sah antara aku dan si dia
Lantas meninggalkan satu anugerah yang tiada ternilai
Ianya teratur indah tanda tautan untaian kasih antara kami yang tidak pernah terlerai
Tanpa disangka, kau menghuni secara tiba-tiba di dalam kantung rahimku

Sungguh ajaib kehadiranmu dalam hidupku
Saat itu, kau bernafas seiring dengan nafasku
Belaian dan usapan manja seringkali aku berikan padamu, agar kau mengerti makna kasih yang mendalam terhadapmu
Seringkali sapaan lembut kuhadiahkan padamu…
Agar kau tahu bahawa aku terlalu bersedia menyambut kehadiranmu
Aku sering mengalunkan surah Yusuf, Luqman dan Maryam
Harapanku, semoga kau dilahirkan seindah dan seceria wajah Nabi Allah Yusuf,
agar dirimu mewarisi kebijaksanaan cendiakawan Luqman Al-Hakim
Serta hatimu kan dihiasi secangkir mewangi keimanan Maryam wanita suci
Moga kau menjadi setabah Sumayyah dan sesopan puteri kebanggaan Rasulullah, Sayidatina Fatimah

Kau menghirup lembut pawana dingin yang berpuput, damai ke ronggamu
Kau menghilangkan dahaga kasih dari sumur jiwaku
Dari kasih dan cinta dari aku dan papamu, kau sempurna membesar
Saat pertama kali kau melihat dunia nyata, aku terpana
Rengekmu begitu mendodoi perasaan, mendamaikan jiwa dan sukma hatiku

Nur Aryanna Emelda…cantik sungguh nama itu, indah sungguh susunan bait-bait huruf yang kugunakan untuk membentuk namamu, sayang!
N-U-R  A-R-Y-A-N-N-A  E-M-E-L-D-A! Ah! Benar sayang!
Namamu terlalu indah untuk aku gambarkan dengan kata-kata
Tetapi 16 huruf bertuah itu telah membuktikannya
Sesiapa pun yang terpandang dan menyebut namamu pasti akan terpana kerana keindahannya
Dan sesungguhnya dirimu sayangku, pastinya seindah apa yang digambarkan melalui bait-bait huruf yang membentuk namamu

‘Mama’, itulah kalimah pertama darimu yang menggetarkan sukmaku, menggoyangkan tangkai hatiku
Saat yang paling indah bila bibir mungilmu menghadiahi ciuman padaku, sungguh indah!
Tidak dapat kutahan mutiara putih dari gugur tika mengingatimu, aku benar-benar menyayangimu sayangku!
Rindu menerobos kamar hatiku, menggigit naluriku, betapa aku rindu menatap wajah comelmu tika kau tiada di sisi
Hanya sonata rindu yang mampu merawat kerinduanku terhadapmu
Sayang, sesungguhnya segala-galanya telah aku curahkan buatmu
Moga-moga kau sayangku, bakal menjadi wanita idola bertakhta srikandi meladeni semangat jitu dan utuh milik diri Aisyah r.a., wanita yang terdidik dari madrasah suci Rasulullah s.a.w.
Mungkin inilah anugerah terindah dari-Nya untuk kumiliki
Sesuatu yang tak pernah aku temui sewaktu menjalani hidup bersendirian dan sebelum hadirnya dirimu dan papamu…


(7.27 p.m.-8.24 p.m. 5 Mei 2005)

No comments:

Post a Comment