Total Pageviews

Tuesday, 31 January 2012

aku dan dia saja faham...

Aku dan Dia...
Ini cerita aku dan dia
Hanya aku, dia... Dia dan aku...
Ini bukan hikayat tapi ini kisah kami

Pagi itu indah
Tapi aku rasa perasaan aku tak seberapa indah
Aku bergegas berjumpa dia
Ada banyak sangat beban di kepala aku ni
Untuk aku lepaskan kepada dia

Bertemu dia, berdepan dengan dia, aku rasa macam-macam
Salah dia besar sangat kat aku!
Aku rasa nak marah dia
Dia cakap 'marah lah...'
Aku rasa nak tunjal-tunjal kepala dia
Tapi aku takut dia rasa sakit
Aku jerit kat dia 'bodoh'!
Dia cakap 'memang'...

Aku cakap dia bangang
Dia balas balik 'paling bangang'
Aku kata macam nak sepak muka dia
Dia kata 'memang berhak pun...'

Aku nak menangis tapi aku nak dia pujuk aku
Aku rasa macam nak merajuk tapi aku nak tengok muka dia
Aku rasa macam nak marah lagi tapi aku nak berborak dengan dia
Aku rasa macam nak blah saja tapi aku rindu dia!

Aku buat-buat merajuk, masuk dalam kereta...
Dia senyum saja, ada propaganda ke?
Dia tak pujuk aku, dia tak kejar aku
Aku bukak dashboard, ada nota...
"AKU TAK MAMPU NAK JADI SEBAIK MALAIKAT. TAPI AKU PUN TAK SEJAHAT SETAN. APA-APA PUN JANJI AKU HANYA SATU. AKU AKAN JAGA KAU SEBAIK MUNGKIN. JIKA ADA JODOH OLEH ALLAH,KAU AKAN JADI PELENGKAP RUSUK KIRIKU..."

(3 Januari 2012 11.40 am-12.00 pm)

Friday, 27 January 2012

MISI AKU DAH TAMAT WEH!

pencarian aku dah berakhir!dah tak perlu aku terhegeh-hegeh mintak kat orang untuk pinjam.huh,aku dah dapat pun apa yang aku nak ok!tengok ni...



dah lama aku cari buku si Bob ni,finally MPH OU adalah jodoh aku dengan buku ni rupanya!hahaha!ok,tak banyak yang aku nak cakap pasal hasil pena dan minda si mamat Juvana ni,yang aku taw,DIA UNIK!dia pandai buat aku tertanya-tanya tentang apakah maksud setiap tulisan dia..betul,otak korang akan tajam bila saja baca tulisan dia sebab dia takkan bagi korang makan free!aku respect hasil dia,aku kagum otak dia!

(28 Januari 2012 1.15 pm)


DIA ADA

Jika aku tanyakan pada bintang
Adakah yakin dia akan selalu berkerlipan menerangi malamku
Akankah ada satu jawapan yang pasti?
Jika aku tanyakan pada bulan
Mampukah dia merembeskan cahayanya pabila aku dalam kegelapan
Akankah ada jawapan yang bisa membuatkan aku yakin
Bila aku ingin tanyakan pada angin
Adakah dia akan selalu menghembuskan tiupan yang selalu buat aku damai
Akankah angin berkata, ya aku selamanya akan bisa menghembuskan tiupan ketenangan ini?
Mana satu yang bisa memberikan jawapan yang pasti?

Lalu, aku terkurung dalam sangkar pemikiranku sendiri
Aku berkhayal dengan perasaanku sendiri
Bermain, bergurau dengan khayalku, melontarkan persoalan demi persoalan yang mungkin tidak terjawab
Yang sebenarnya aku lupa, aku alpa!
Aku alpa bahawa Dia selalu ada
Dia yang bisa merungkaikan segala tanda tanya
Ku cari Dia...
Dia di mana?
Di kananku, di kiri, di langit atau di bawah?

Sekali lagi, aku alpa, aku terlalu asyik dengan duniaku
Aku lupa, Dia selalu ada bersamaku
Dia di dalam hatiku! Dia ada di mana-mana!

Dia ada bila ketakutan menjadi selimut hatiku
Dia selalu ada pabila kesusahan melanda ruang hidup ini
Dia ada tatkala aku lupa pada-Nya...
Dia selalu ada!

Apa lagi yang bisa aku buktikan pada mereka bahawa Dia selalu ada?
Segala apa yang mengelilingiku, mendekatiku, itu datang dari Dia...
Saat aku tersesat, Dia bukakan hijab-Nya
Agar aku selalu mengerti bahawa Dia ada
Dia pendamping, Dia petunjuk, Dia penyelamat
Dia segala-galanya!

(3.24 p.m.-3.46 p.m. 20 April 2011)

KALIAN PERGI SEBAGAI SYAHID...


syahid…
kalian pergi sebagai syahid…
syahid di sisi Dia, di samping kekasih-Nya, berada bersama para syuhada-Nya…
mulialah kalian di sana, berbahagialah menyambut pnggilannya…
walaupun di sini tangisan Ibu dan ayah mengiringi perjalanan terakhirmu…

kalian pergi sebagai syahid
dipilih menjadi tetamu-Nya ketika usia masih rapuh
ketika hati dan jiwa masih lagi belum dinodai kekotoran dunia
sabarlah ibu, tenanglah ayah…
mereka hilang di sini hanya sementara
di sana nanti pasti di pintu syurga untuk menyambut ibu dan ayah…
usaplah air matamu itu wahai ibu…
anak-anak itu pergi sebagai syahid untuk menjadi pendamping-Nya
semoga di dalam mimpi, mereka akan muncul bersama-sama doa untukmu…


(3.30 p.m. 24 May 25, 2011)

*specially dedicated to anak-anak yg terkorban dlm tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Al-Taqwa Hulu Langat

Jangan Bunuh Cinta Itu


Jangan bunuh cinta itu
Jangan hapus rasa itu
Dan jangan sekali-kali kau cuba lenyapkan semua yang telah kita ciptakan bersama
Kerna rasa itu kan selalu ada
Cinta itu kan selamanya hidup
Meski bibirmu bisa ungkapkan perpisahan

Aku juga kan selalu ada
Dalam hatimu
Dalam ingatanmu saban waktu
Dalam setiap apa pun yang kau cuba nafikan
Dalam cinta itu
Aku kan selalu wujud

Dan aku tahu kau tak mampu untuk menghilangkan cinta itu
Seperti aku, rasa itu seperti telah abadi dalam dirimu
Kerna itu kau tak bisa jauhkan dirimu dari diriku
Sayang, cinta itu akan selalu bersamamu
Meski andai nanti aku tiada lagi di sisimu
Aku yakinkanmu, cinta itu takkan pernah tinggalkanmu…

8.58 p.m. February 17, 2011

MY ONLY DRUGS

Perlu aku namakan yang satu ini sebagai cinta
Seperti dadah, dia membuatkan aku sering meminta kasih sayangnya, dahagakan kehadirannya
Seperti dadah, dia mengalirkan rasa cintanya sealiran dengan darahku
Dia dadahku, dia racun, namun akhirnya dia juga yang menjadi penawar

Jika aku mampu merakam setiap apa yang dilakukannya
Akan kurakam dalam kotak ingatanku agar selalu ia tersimpan kemas, erat!
Dia bisa buat aku menangis, dia bisa buat aku gembira!
Dia bukan yang biasa, dia teristimewa
Dia bukan matahariku, dia bukan bintangku, bukan juga bulan
Dia seolah-olah seperti duniaku...

Tatkala perasaan ini kosong, hilang
Dia mampu wujudkan satu lembaran kebahagiaan yang berkiblatkan cinta
Saat emosi ini sukar untuk diterjemahkan
Ada aura darinya yang bisa menghuraikan segala kekusutan
Sungguh, dia bukan yang biasa-biasa, dia teristimewa!

(3.03 p.m.-3.17 p.m. 20 April 2011)

SEMAKIN HILANG

Jauh...Semakin jauh dan seakan-akan hilang
Jangan tanyakan bila ianya hilang
Usah persoalkan dan pertikaikan kenapa ianya hampir pupus
Kerna tiada jawapan yang tepat padaku
Yang mampu mengisi prasangka setiap mereka itu
Yang bisa menjawab segala tanda tanya di benak mereka
Juga tiada kepastian dariku yang bisa membuatkan dirinya yakin

Dia dengan caranya
Cara yang selalu membuatkan aku berasa jauh darinya
Penat! Sakit!
Sangat penat untuk aku menidakkan caranya
Apabila saban hari dia dikelilingi oleh manusia-manusia yang gembira untuk menjauhkan aku dan dia
Manusia yang gemarkan kepentingan diri sendiri
Manusia yang mungkin jua bisa menjadi musuh dalam selimut
Siapa tahu...

Aku bukan malaikat untuk diiyakan setiap yang diperkatakanku
Tapi aku punya mata hati untuk lebih menilai apa yang terbentang di hadapku...
Untuk nampak yang mana tersembunyi keburukan dan di mana terselit persona kemuliaan
Dan saat ini usah tanyakan lagi kenapa ianya telah hilang
Usah lontarkan kepadaku ke mana ia hilang
Aku penat, letih dengan kepura-puraan manusia-manusia itu
Kerna perasaan ini sebenarnya telah lama cuba untuk hilang...

(11.30 a.m. 6 May 2011)

TAKKAN PERNAH MENYESAL


Setenang gelora samudera ini
Dan burung-burung camar yang takkan berhenti untuk menyanyi, begitulah hatiku kini
Saat kau masih lagi di sini, gelisah jiwa pun berakhir
Terlalu rapuh kelopak sang mawar yang gugur pada malam tadi
Dihembus badai yang cuma hadir seketika
Namun, aku terlalu mengetahui bahawa hatimu tak serapuh itu

Kerana aku percaya bahawa pergimu memang untuk selamanya di sini,
namun hanya seketika di sana
Hamparan samudera biru yang tenang mengiringi pergimu telah membuktikannya
Titis hujan yang syahdu seolah-olah merestui ketenanganmu meninggalkanku
Akhirnya kau menemui jua pencarianmu selama ini
Pergimu tak dapat aku temani, namun izinku bersama denganmu
Aku tahu bintang yang bergemerlapan itu tersenyum melihat keasyikanmu diulit lena yang aman
Namun, mengapa kelopak bunga mawar itu sentiasa gugur sejak kau tiada?
Mungkinkah ia…
Ah…biarlah aku padam sahaja pertanyaan itu

Dan di saat ini, aku berharap kau dapat mendengar luahan kasihku terhadapmu
Percayalah, terlalu beruntung diri ini apabila dianugerahkanmu
Segala kasih dan sayang yang aku berikan padamu terlalu mendalam
Aku tak pernah menyesal sewaktu menjalani hidup denganmu, biarpun cuma seketika
Dan aku tak akan menyesal bila aku kehilanganmu
Kerna aku tahu, suatu hari yang abadi untukku pasti akan tiba jua
Di saat itu, aku berdoa supaya aku ditemukan denganmu
Segalanya yang aku katakan telah membuktikan betapa aku tidak pernah menyesal
menyintaimu
Senyuman di bibirmu membuatkan aku tahu bahawa kau memerlukan aku di sisimu menemani pemergianmu
Dan telah pun kukotakannya sewaktu mengiringi kau pergi
Sinar kebenaran di sebalik pejaman matamu seolah-olah menyatakan
kau tak pernah ingin meninggalkan aku sendirian
Benar, waktu-waktu terindah sewaktu bersamamu sentiasa menemani hidupku
Sentuhan tanganmu di saat-saat terakhir pemergianmu telah membuktikan kau sentiasa ingin bersamaku
Namun, sentuhan itu seketika cuma, tidak selamanya
Tetapi percayalah bahawa kehangatan sentuhanmu akan sentiasa membangkitkan kasihku untukmu…
Sabarlah menanti, aku kan mengekorimu bersama cinta bila tiba masanya nanti


(10.13 a.m.-10.44 a.m. 21 Oktober 2003)  

SELAMAT DATANG CINTA!


Saat pertama kali ketukan cintamu memecah ruang hening hatiku,
aku bingung, jiwaku kosong
Tak pernah sekali terdetik untuk mengenali cinta
Apatah lagi untuk cuba memahami makna cinta
Kerna aku masih lagi percaya…
Cinta tidak boleh sesekali disanjung

Masih lagi segar di ingatan…
Tatkala ketukan pertama cintamu di hatiku
Kubuka jendela hati untuk mengintai bayangan kasihmu
Pintu hati masih lagi kukunci rapat, bimbang dicerobohi
Namun renungan azimatmu memanah hatiku, tepat!
Ada sesuatu dalam renunganmu…sesuatu yang bakal kuketahui
Terpancar kejujuran dari keindahan kasihmu
Dan aku? Aku mula mengerti
Siapa sangka, pandanganmu yang seketika mengubah anggapanku,
malah kesannya adalah selama-lamanya
Ternyata degilmu melebihi degilku
Kau tegar untuk memiliki hatiku, aku terpaksa akur
Demi Tuhan, sejak detik ajaib itu hatiku telah terbuka luas…

Merasai genggaman tanganmu buat pertama kali, aku gontai
Terasa kehangatan kasihmu mengalir dalam darahku
Di syurgakah aku? Ada pesona keindahan seperti tiada berpenghujung
dalam diriku. Harum dan mewangi!
Seketika aku berdoa semoga waktu seperti ini tidak akan berakhir
Ada kelainan dalam diriku apabila berada di sisimu
Indah…terlalu indah dan aku mahu keindahan itu mendekatiku saban hari
Demi Tuhan juga, hatiku telah kau miliki dan aku ingin kau tahu…
Ada sesuatu yang sedang berlaku dalam hidupku. Cinta? Cinta…
Benarlah kata pujangga, “kerana cinta raja pun boleh menjadi hamba”
Dan saat ini, aku mahu semua orang memahami dan mengagumi cinta aku dan dirimu!


=7.55 p.m. (Sabtu, 18 Disember 2004)-10.20 p.m. (Ahad, 26 Disember 2004)=



RINDU INI MILIKMU SELAMANYA…


Siang adalah rinduku
Malam adalah rinduku
Pada bulan yang tersenyum
Pada bintang yang bersinar
Pada unggas yang bersiul riang…

Padamu…
Matahari siang dan malamku
Ke mana cinta itu pergi?
Secara tiba-tiba lenyap dari hatimu
Namun rindu ini sentiasa menghinggap di hatiku
Menanti saat pulangnya cinta di hatimu
Tak pernah sekalipun ia terbang jauh dari hati ini
Seumpama dingin bayu petang
Mengusap manik-manik setia
Umpama lembutnya bayu malam
Membelai titis-titis kerinduan
Yang pastinya setia menunggu cinta itu kembali

Sesungguhnya setia kepadamu mengembalikan rindu ini
Menyempurnakan semula pelayaranku di lautan rindu
SAYANG…
Kulakarkan seribu wajah rindu
Kucoretkan jutaan kalimah cinta
Kulukiskan segunung lukisan hati
Kusematkan bicara-bicara sepi
Hanyalah untuk
Kuperlihatkan zahir ini kepadamu
Biarpun batinnya tidak kau tahu
Kupersembahkan pada mata hatimu
Kupertaruhkan pada nilai kasih sayangku
Bahawa
Rindu ini milikmu selamanya…


(17 April 2007, 8.34 p.m.)

PERGILAH SEPI


Dulu, diri inilah ratu kesepian
Kucuba menjauhkan diri, tak mahu lagi dibelenggu kesepian
Tak rela lagi ditemani air mata
Tak sudi lagi menjadi tetamu kesengsaraan
Tuhan, terlalu sukar diri ini menerima dugaanmu

Tatkala matanya menatap mataku
Ada debaran yang tersirat di sebalik senyuman
Tak mampu aku membohongi lagi diriku
Tidak tersedar juga olehku
Ada titisan air jernih mengalir di pipi
Tak mengerti olehku apa yang tersirat

Sepi kembali mencengkam bila dia hilang
Kupejamkan mata, ada dia yang menantiku
Benarlah apa yang dikata, keindahan dia hanya akan disedari bila tiada dia di depan mata
Lamarannya menggoncang perasaanku
Angan, impian dan bahagia bercampur semuanya
Bersatu semua dalam satu persetujuan

Pergilah sepi…
Pergilah jauh tanpa mengingatiku lagi
Telah usai semua yang terimpi di jiwa
Ada dia yang sering menatap diriku
Dia merenung kasih mataku
Telah menjerat hatiku di dalam cintanya
Kuakui satu yang terindah dalam hidupku
Kini ada padanya…
Pergilah sepi…
Aku hanya inginkan sebuah cerita cinta indah
Kutelah mengerti maknanya cinta
Terindah seperti dalam cerita dongeng
Jauhkanlah bayanganmu dariku, sepi…
Aku terlalu percaya
Bila kegirangan singgah di hati…
Kesepian pun terus berlalu pergi…
Tuhanku, jangan kau rampas segala kebahagiaan ini di saat ia mekar mewangi


(11.50 a.m.-12.02 p.m.
 21 Mac 2003)

PADA BINTANG YANG BERKERDIPAN


Pada bintang yang berkerdipan…
Malam yang gelap, pekat, hitam…
Aku berdiri di jendela, menatap dada langit yang dihiasi bintang berkerdipan
Indahnya, bergantungan di angkasa raya bagai permata yang berkemilau
Cuba untuk menghitungnya, namun aku gagal jua
1…2…3…10…100…999…
Arggh!!! Tak terkira jumlahnya, hingga aku terpaksa menyerah kalah

Seketika, nadi terasa seperti berhenti berdenyut, nafas beralun tidak teratur
Bayangan dosa-dosa silam menyelubungi kotak fikiranku, segenap ruang ditawannya
Oh Kekasih, adakah lagi jalan dan ruang untuk aku menempah tempat di sisi-Mu?
Masih ada lagikah izin dari-Mu untuk diri ini diberi petunjuk serta peluang sesuci hamparan sutera putih?

Salahkah aku menumpang secebis daripada kekayaan Dia yang dilimpahkan di dunia ini?
Bukankah alam semesta yang membulat tanpa sempadan dengan segala isinya itu milik Dia?

Ahh…jauh sudah aku melayari silamku
Seketika, aku terdengar satu irama yang syahdu, lembut mengalunkan
kalimah yang indah memuji Dia dan menyeru manusia ke rumah-Nya
Entah mengapa, kala terdengar saja kalimah maha suci dan indah itu,
diri ini kurasakan amat kerdil, sekecil debu di bawah kolong langit maha luas
Terasa kerdil benar diri ini. Aku hanyalah satu makhluk yang berdiri di tepi jendela, yang cuba mengira jumlah bintang-bintang, dan yang terlalu mengagumi ciptaan Dia

Pada bintang yang berkerdipan…
Ingi sekali aku rungkaikan dan huraikan segala rahsia yang menjadi simpananmu
Ingin sekali aku mengetahui misteri kerdipanmu, misteri terangnya cahayamu dari ruang kosmos yang jauh ini…
Namun, kau masih lagi berkelip-kelipan di dada langit yang hitam pekat…sehitam hati ini
Ternyata, sinaran cahayamu lebih terang dan jujur daripada pancaran matahari yang menyinari perjalanan hidupku
Rupa-rupanya kau bintang, lebih ajaib daripada matahari!









Terasa ingin saja digapai sebutir demi sebutir, kemudian akan kurungkaikan rahsianya yang menjadi misteri
Tapi ia terlalu jauh…sejauh hatiku dari Dia
Aku terlalu merindui Dia, rindu yang terlalu mendalam
Pada bintang yang berkerdipan…
Ingin sekali aku memiliki jiwa yang seterang dan sesuci cahayamu, agar bisa kumendampingi Dia sampai akhir hayat
Alangkah agungnya Dia!
Aku kembali ke kamar, terus menatap bintang yang indah berkerdipan…


(8.30 p.m.<2 Oktober 2005>
 -9.11 p.m.<3 Oktober 2005>) 

MEMORI SENJA BERSAMA ZEC DI GEORGETOWN


Terlalu banyak cerita cinta mereka
Selalu aku mendengarnya walau hati tak pernah memahami
Namun tika waktu itu, hati tergerak tiba-tiba
Sesuatu menyuruhku mendalami apa itu cinta
Lantas aku cuba menyelami cinta itu, sedalam-dalamnya
Ku tak mahu cinta itu hanya sebuah cinta biasa

Ketenangan yang aku rasai sewaktu mengenalinya, bukan kekusutan
Lantas ketulusan kasihnya mencairkan ketulan egoku
Kuakui aku menemui kebahagiaan sewaktu di sisinya
Mungkinkah itu ‘cinta’?
Nama yang diperkenalkan padaku sudah cukup membuat aku mengerti dirinya
Ada memori di sebalik segalanya itu
Biarlah, simpankan cerita yang lalu…

Ada apa dengan ‘cinta’?
Cinta yang aku fahami bukanlah cinta Si Rangga dan Si Cinta
Bukan juga cinta gila Romeo dan Juliet
Melaluinya kumengetahui sifat-sifat dunia
Di Pulau Pinang, di Bandar George, segalanya kini telah tersurat dan tersirat

Senja itu, aku dalam pelukannya
Di sisian lautan yang bergelora lembut
Aku tergoda dengan ucapan sayangnya
Dia bukan raja cinta, tetapi penasihat cinta
Apa lagi yang mampu kukatakan?
Bila aku telah menyintainya dan berbagi hati dengannya
Itu semua hanya dengannya
Laut itu seakan mengerti kelembutan belaiannya
Angin pun mula menyapa diri tatkala tangannya menggenggam jemariku
Mungkinkah Pantai Seagate ini akan mencipta kenangannya terendiri?

Tika mentari merah itu wujud
Aku masih asyik mendengar bisikan kasihnya
Ya, ada sesuatu yang hangat mengalir di pipiku
Ohh…mutiara tanpa warna mula rebas dari mataku, mungkin kerana terharu
Kusaksikan beburung waktu itu berterbangan perlahan, damai!
Itulah yang kurasa sewaktu dalam dakapannya
Sehingga terlupa segala duka yang membaluti diriku

Jendela malam mula menampakkan bayangnya
Haruskah aku meneruskan keasyikan diulit kasihnya?
Ku tak mahu dikatakan pencinta asyik
Keindahan bersamanya di senja itu terhenti
Cahaya malam menjadi pemisah seketika
Sabarlah Zec, hari-hari mendatang pasti kan menjelma
Memori di dalam pelukanmu kan kubawa dalam mimpiku…



(11.22 p.m.-11.43 p.m. 1 Jun 2003)

MELODI CINTA TERINDAH (II) BUAT ARYANNA EMELDA


Telah kulagukan melodi cinta nan suci buatmu
Telah kusimpulkannya menjadi kenangan yang paling erat dalam hidupku
Di pepasir pantai nan indah disaksikan nyanyian ombak menderu
Buat pengubat rindu yang semakin mendalam, buat melerai resah dan  gundah

Izinkan aku membelai wajahmu, Aryanna Emelda…
Tatkala bibirku dan bibirmu bersatu dan kita bicara tanpa suara, tanpa paramasastra
Waktu itu hanya kehangatan nafasku, nafasmu lebih memahaminya
Atau biar saja aku menjadi kelambu malam-malammu
Sebagai pelindung daripada segala kecelakaan yang bakal menantimu
Dan kau bisa saja lena di ribaku lantas dibuai mimpi penuh indah, penuh wangi
Dan semarakkanlah cinta kita berdua disirami harum kasihmu

Aryanna Emelda, lambang cinta kasih aku dan dia
Izinkanlah aku terus menjadi pengandal kehebatanmu
Membiarkan aku terus mengusap manja penuh ghairah tubuhmu sehingga tiada terkata
Atau biar saja aku berendam dalam perigi kasih kita berdua
Akan kuteruskan membelah ombak menerjah badai, mengemudi cinta ke pelabuhan sana, menagih kasih sang puteri nan ayu lagi indah
Dewi kencana bernama Aryanna Emelda
Apa bisa aku melayari khayalan nan luas tiada bertepi bersamamu ke pulau cinta duhai Aryanna Emelda?


(10 September 2004, 11.36 p.m.-12.00 a.m.)

MELODI CINTA TERINDAH BUAT ARYANNA EMELDA


Biar kulagukan melodi cinta nan suci buatmu
Biar kusimpulkannya menjadi kenangan yang erat dalam hidupku
Ditemani damai malam yang tenang dan gemerlapan kilauan bintang
Aku mahu mengubat rindu yang semakin hari semakin mendalam terhadapmu

Izinkan aku membelai mesra pipi gebumu
Izinkan aku menyisir lembut rambutmu
Kala sang bayu berarak lembut  mengulit sepi, aku mahu menemanimu
Saat percikan hujan menyentuh tubuhmu, biarlah aku menyelimuti tubuhmu lantas mendakap erat tubuh kecilmu
Tiba malam, akan kuhamparkan sutera cintaku untuk mengalas tidur asyikmu
Biar aku terus memerhati comel matamu melayari mimpi-mimpi indah dan biar aku fahami seulas bibirmu yang selalu menyimpul senyuman padaku

Bila pagi membuka tirainya, bangunlah wahai Aryanna Emelda…
Hilangkanlah kerinduanku yang menggunung menanti jagamu semalaman
Leraikanlah gundahku yang sunyi tanpamu, Aryanna Emelda
Rebahkan segala resahku dengan sentuhanmu
Aku mahu kau tahu segalanya yang ada dalam hatiku
Sayangnya aku padamu seluas samudera raya, seindah pesona bidadari

Tatkala berjauhan darimu, rinduku membara
Cintaku berdarah kerana mengenangkan segala yang ada padamu
Rela aku berkolek di Selat Melaka, membelah samudera raya untuk mendapatkanmu di seberang sana
Meski jalannya berliku, denainya berapi, akan kugagahi
Tiada aku kenal erti jemu menantimu, tiada istilah bosan dalam perjalanan hidupku sewaktu mencarimu
Kerana kasihmu terlalu jujur, hadir tanpa dipaksa dan terpaksa
Namun, satu persoalan masih lagi belum mampu kujawab
Apa pasti kau kutemu jua, Aryanna Emelda dalam hidupku?


(3.45 p.m.-4.00 p.m.,10 September 2004)

KASIH 83-87


Zec, haruskah aku membandingkanmu dengan satu hari di musim panas?
Sesungguhnya kau lebih indah jika dibandingkan dengan keindahan bunga-bunga di musim panas itu
Juga sesungguhnya kau terlalu hebat untuk aku mengandalkanmu
Kerana itulah aku akan terus cuba untuk menyelami makna cinta bersamamu
Dan terus mendalami apa yang dikatakan cinta
Wujudkah cinta? Apa ada dalam cinta itu?
Kata orang, cinta itu indah, terlalu indah dan lebih indah jika dialami sendiri
Benar, aku memahaminya sewaktu menjalani hari-hari denganmu
Aku merasainya sewaktu gontai dalam rangkulan kasihmu
Dan aku mengingininya bila kau tiada di depan mataku
Zec, percayalah pada segala yang telah kuberikan padamu adalah tulus
Tak berani untuk aku mengiktirafkannya sebagai cinta sejati
Namun aku terlalu berani dan bangga untuk menyatakannya sebagai “kasih”
Zec, selagi wujud puisi ini di muka bumi ini, selagi ada mata yang membacanya dan selagi ada insan yang ingin memahaminya,
Selagi itulah hidup kasihku untukmu…


(9.30 a.m.-9.40 a.m. 28 September 2004)

JUARA CARTA DI JIWAKU


Terlalu klasik untuk menyebut, setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi
Namun kalimah ajaib itulah yang membawa erti dalam kehidupanku
Benar, penantian yang selama ini kutanggung telah menjadi realiti
Saat-saat sepi yang dulu kini bertukar menjadi detik yang paling indah
Hadirmu setanding dengan tujuh juzuk warna pelangi, terlalu indah!

Kau ibarat lagu yang tercipta nan indah
Melodimu mengalun rima kehidupanku saban hari
Tercipta dan dicipta oleh pengubah yang teragung, hanya untukku
Kedudukanmu di hatiku tak pernah berubah
Saban hari kau sentiasa mendaki carta teratas di jiwaku
Kedudukanmu tak pernah tergugat oleh yang lain, takkan bisa digugatkan
Kelebihan ciptaanmu terlalu luar biasa
Apapun yang hadir dan berlaku, kau tetap nombor satu
Kaulah juara carta di jiwaku

Namun, kerisauanku tetap menyelubungi jiwa
Bimbang kedudukanmu bergoyang dicabar yang lain
Bimbang iramamu diubah keindahannya
Aku bimbang jika harapan dan impian tidak setanding mimpi
Aku bimbang kehebatanmu dirampas oleh satu getaran asing
Selalu kuberdoa agar kau tidak pernah jatuh dari carta teratas di jiwaku
Kerana kupercaya kau sentiasa akan mekar menghijau di jiwaku
Tetap juara carta di jiwaku…


(9.35 p.m. <21 Oktober 2004>
 -<9.43 p.m. <25 Oktober 2004>)

JANJI KASIH (Aku Tetap Menyintaimu...)


Hari ini seperti semalam
Tiada sesuatu yang istimewa tanpa dirimu
Pagi ini, nyanyian nyaring beburung sudah mula berkurangan
Seperti beburung, aku jua tidak gembira hari ini
Aku tidak berdaya untuk melawan godaan kerinduan tentang memori bersamamu
Diri ini longlai untuk menatap wajah dunia tanpa ditemanimu

Semalam, aku terpaksa mengharungi malam yang sepi tanpa ditemani kamu
Aku sendiri, sendiri melayari mimpi-mimpi buruk yang menerpa lenaku
Kau tiada membelai aku dalam dakapan eratmu
Kucuba untuk meletakkan memori bersamamu di sudut yang paling baik di hatiku
Namun semuanya seperti kosong, bayanganmu sering mengekori aku
Lalu, segala saat indah bersama denganmu kubangkitkan
Bukan sengaja ingin kumengungkiti kisah silam, tapi kerinduan terhadapmu memaksa aku melakukannya

Biarlah cinta di hati ini kau bawa pergi bersamamu
Namun aku tetap memegang janjiku terhadapmu
Biarlah kau padam segala waktu terindah ditemani candaku
Namun aku tetap menjulang namamu di jiwaku buat selamanya
Pergimu bersama pengertian hidupku
Kebahagiaan ini ada pada dirimu, percayalah…
Dan satu yang terindah dalam hidup ini, aku akui ianya adalah dirimu
Di hati ini, tetap ada keyakinan bahawa aku milikmu
Aku rela walaupun kau pergi kerana menyintai dia
Mungkin cinta ini tiada lagi keindahannya pada pandanganmu
Tapi, hargailah asmara yang pernah kita bina dulu
Kenanglah cinta kita walaupun dia ada di sisimu

Aku cuba untuk melepaskan kerinduan terhadapmu ke tempat yang paling abadi
Namun kerinduan itu tetap kembali memaksaku untuk mengingatimu
Benarlah apa yang dikata, kerinduan satu penyeksaan
Aku ingin kau akui bahawa cinta ini pernah kau miliki
Dan aku sendiri tetap akan mempertahankan kesucian asmara kita
Aku kan buktikannya hingga ke nafasku ini
Berjanjilah, kau takkan pernah ingin memadamkan saat indah bersamaku
Aku jua berjanji akan tetap menerimamu jika kau kembali padaku
Takkan kubiar cinta suci ini usai dan goyah dengan memberinya kepada yang lain
Dan berjanjilah kau padaku, bersihkan semua keraguanmu terhadap cintaku
Percayalah, kasih ini telah tersemat selamanya untukmu…

(12.40 p.m.-1.07 p.m. 20 Oktober 2003)

IKRAR KASIH BUAT ARYANNA EMELDA


Terjaga aku dari lena pabila terdengar bisikan kasihmu
Lembut belaianmu di pipiku membangkitkan keghairahan untuk bersamamu
Lantas bibir mungilmu kurapati lalu kunikmati ia bersamamu
Saat itu, hanya mata dan hati kita berbicara tanpa bahasa indah, tanpa nada puitis
Kurasai getaran itu di dalam dada saat renunganmu menusuk ke mataku
Ada rahsia kasih yang tak mampu kau ungkapkan kepadaku
Namun aku terlalu memahami gerak tubuhmu, aku memahami bahasa matamu

Sayang, kehadiranmu membawa sejuta makna yang sarat dengan keindahan
Melengkapkan pelayaran indah kisah hidupku bersama sang arjuna
Hati terpaku kagum tatkala tangismu yang pertama memenuhi ruang hidupku
Saat itu aku keliru, benarkah hadirmu telah kurasai?
Layaknya seperti bidadari kau mewarnai lukisan hidupku, mencorakkan duniaku
Lantas kuikrarkan semua adalah untukmu, hanya untuk dirimu
Sayang, suatu hari nanti tatkala kau mula ingin memahami sifat dunia…
Tatkala hatimu memang telah tetap untukku…
Akan kubawa kau menyusuri dan merasai memori cinta aku dan dia di persiaran indah itu
Di situ nanti, kau akan lebih mengenali makna “kasih”…
Ikrarku, selagi langit memayungi bumi, selagi itulah kasih ini kurelakan untukmu…


(9.20 a.m.-9.39 a.m. 29 September 2004)

I JUST CAN'T FIND THE WAY


I just cant find the way
To express my love for you
You are just amazing
In everything that you do

Those times I spent with you
Are the best I've ever had (which is almost everyday)
And you always know how to help me
Whether when I'm mad, glad or sad...

Thank you for all the wonderful times we've shared together,
baby...

(28 Januari 2012)

HANYA SATU CINTA


Saat bintang tak mampu lagi menari untuk memagari bulan
Saat malam tak mampu lagi untuk menemani siang
Dan saat harum tak mampu lagi mewangikan bunga
Aku kan terus berdiri di arena cinta ini
Untuk selamanya menantimu

Lalu kan kugenggami erat tanganmu…
Pejamkanlah matamu buat seketika waktu
Lihatlah cahaya cinta dari naluriku di dalam matamu
Bukakanlah matamu bila hatimu merasai getaran cintaku
Maka izinkanlah juga hatimu untuk menerima kasihku

KAU, hari-hari yang aku jalani tanpamu amat memedihkan
Kau hadirkan virus rindu dalam diriku terhadapmu
Aku tak mampu lagi menjadi perindu yang hebat
Aku hanya mahu menjadi pencinta yang setia
Maka sisipkanlah walaupun hanya secebis kasihmu buat diriku

Aku tak pernah menyanjung dirimu
Tapi aku kan selalu menyanjung cintaku terhadapmu
Aku mengerti, bukan aku yang terbaik untuk kau sanjungi
Tetapi ketulusan cintaku terlalu sempurna untuk kau rasai
Dan aku percaya akan ada keajaiban bila aku terus setia padamu
Percayalah, keajaiban itu akan terserlah jika kau mempercayai kesetiaanku

Saat ini, telah kurangkumkan segalanya tentangmu dalam episod kasihku
Telah kurebahkan kenangan yang selalu menyapa hati
Juga telah kuletakkan tempatmu di takhta istimewa dalam hatiku
Akan kuusir kerikil keraguan jika ia kembali ingin menegurku
Telah kupahatkan rebah setia dan rinduku agar lebih teguh
Semoga ia takkan hilang hingga ke hujung kenang hidupku

KAU, jangan sesekali kau menjadi diktator cinta dalam arena ini
Jangan sesekali kau menjadikan aku sebagai hamba cintamu
Gerakkanlah pengakuan cintamu di dalam naluriku
Biar semuanya hadir pada tempatnya
Dan biarkanlah semuanya berlalu pada waktunya jua
Lantas kita ciptakan bersama sejarah cinta sehingga menjadi sebuah cinta agung
Yang berbeza sekali dengan kisah cinta lampau Romeo dan Juliet
Dan yang pastinya akan terukir di arasy kasih

KAU, gerimis senja selalu menjemput ingatanku terhadapmu
Lalu menjadi sebuah ciptaan maya dalam mengenangmu
Di waktu itulah aku mengukir tabir cintaku di ruang gema hatimu
Agar saat-saat yang maha penting sebegini
Menjadi pesona keindahan cintaku untuk kau rasai…



(6.25 p.m.-11.05 pm. 19 Ogos 2004)

GURNEY,I'M IN LOVE!


Dalam hati, tak pernah aku menduga
Jauh sekali untuk aku meminta
Namun segalanya telah tertulis dan tersusun untukku
Untuk aku mengubahnya, bukan daya aku sebagai insan biasa
Lalu, hadirnya kuterima dengan penuh keterbukaan

Segalanya diciptakan oleh Dia dengan pantas
Sekelip mata dia mendiami tempat di hatiku
Namun aku masih membiarkannya sebagai sahabat terbaik
Siapalah aku untuk bertakhta di hatinya sebagai seorang yang istimewa…
Begitu juga dirinya, tetap membisu tanpa meluahkan apa yang tersirat hatinya
Kegoan tetap lagi merajai dirinya

Semuanya berubah pada suatu pagi yang mulia
Dan November, satu lagi sejarah tercatat dalam lipatanmu!
Di Gurney Drive, segalanya terbukti sudah dan Gurney, I’m in love!
Ucapannya bagai meragut degupan jantungku
Benarkah itu ucapan dari mulut seorang yang kukenali dengan egonya?
Aku mahu mengakui untuk menerima cintanya, tapi malu…
Di kala itu, seolah-olah aku berada di awangan
Bagaikan tanganku terikat di langit, kaki terpasak di bumi
Aku kelu, hanya itu yang mampu kuingati
Hatiku beku dipanah luahan azimatnya

Pastinya, pagi November di Gurney Drive itu akan kuabadikan dalam hidupku
Di hadapan lautan yang terbentang dan lambaian pepohon yang disapa desiran angin yang menjadi saksi segalanya,
Aku lemah terangkul dalam dakapan kasihnya
Keindahan saat itu lebih bererti berbanding kata-kata yang dapat kuungkapkan
Jikalau ada keindahan yang terindah di dunia ini, pastinya akan kuiktiraf saat bersamanya di Gurney Drive sebagai sesuatu yang lebih indah

Begitu lucu bila kuimbas kembali saat dia melafazkan cintanya
Aku hanya mampu membisu dan terdiam terpaku
Kata demi kata terjalin dengan indah dalam hatiku
Namun entah mengapa bibirku tak dapat bergerak untuk meluahkannya, terasa berat
Luahan hatinya yang tenang menangkap khayalanku untuk berkhayal dengannya

Akhirnya, penantianku berada di penghujungnya
Kepastiannya kini, Gurney…I’m in love!
Dan Gurney, hanya kau yang menyaksikan segalanya tika itu
Segalanya bermula dan bersemadi di Gurney
Gurney, pasti aku kan selalu membanggakanmu sebagai tempat terhebat yang menjadi kota cinta aku dan dia
Saat ini, ingin kujerit sekuat hati untuk memberitahu kepada dunia,
Gurney…I’m in love!


(6.15 p.m.-7.50 p.m. 9 September 2004)

DIVA TERINDAH (Pergimu Bersama Kebahagiaanku...)


Di saat ini, harum bunga seroja telah mula mengotakan janjinya
Merah tanah bisu kelmarin masih belum pudar
Rintik gerimis hadir menemani irama sayu di hatiku
Kicauan beburung seolah memujuk hatiku yang sedang pilu
Di sini…aku berdiri gontai, mengimbas kembali memori dulu
Memori indah yang kini hanya dikaburi oleh dua batu kaku itu
Sesungguhnya saat ini hanyalah satu seksaan bagiku

Kuputar kembali saat manis bersamamu
Dibelai, dipeluk, dimanja dan dicium saban waktu
Di kala langkahku terasa amat berat, kau tenang mengiringi langkahku
Saat jiwa redup disuluh rasa resah
Kau teduhkannya dengan bisikan azimatmu
Aku belum puas melayari kebahagiaan di sampingmu
Aku belum puas menagih kasih dan sayangmu
Senyum indahmu, aku dambakan menemani tangisku

Saat dulu, terasa begitu indah
Terang sahaja hari, aku menantimu
Menunggu kau membisikkan ucapan pesonamu
Menunggu untuk dicurahkan sepenuh kasih dan sayang
Bila malam menjelma, aku mendambakan dirimu
Menanti kau menemani mimpi-mimpi buruk
Menemani aku di dalam kegelapan malam yang pekat
Segalanya dalam hidup ini hanya untukmu…
Kerana dirimu begitu indah dan pesona

Kerna hanya dirimu satu-satunya yang kuandalkan
Kerna hanya dirimu yang menjadi pesona rahsia di hati ini
Kerna hanya dirimu yang menjadi pelindung bagi sayapku yang longlai
Kerna hanya dirimu yang setia bersamaku saat semua isi alam mencaci diriku
Kerna hanya dirimu yang menyintaiku saat aku dinoda dunia
Kerna hanya dirimu yang akan kuabadikan dalam mahligai cintaku
Kerna segala keindahanmu, aku menyanjungimu sampai ke hujung nyawa

Kaulah permaisuri, satu-satunya insan teristimewa
Tidurlah dengan aman buat selama-lamanya
Di waktu ini, tidurmu tak akan diganggu lagi
Jemarimu kini tak akan lagi membelai wajahku
Senyummu terpaksa aku lupakan kerna tiada lagi ia di bibirmu
Matamu yang sirna cemerlang kini tidak lagi merenung manja mataku
Kini, segala keburukan dunia telah kau tinggalkan
Dan bersemadilah kau di tempatmu dengan aman
Kan kudoakan kedamaian selalu di sisimu
Tenanglah kau menghadap penciptamu
Mama, segala keindahan dan kebahagiaanku pergi bersama jasadmu
Mama…kan kurakamkan segala detik indah dalam pelukanmu di dalam ingatanku


(8.07 a.m.-9.18 a.m. 23 Julai 2003)

DIVA STATIK ASMARA (Kasih Nur Aryanna Emelda)



Oh, kepada siapa lagi akan kukhabarkan kisah gembira yang berjelira di tangkai jiwa?
Kepada siapa harus aku bercerita episod bahagia yang terakam dalam memori epidermis atma?
Kepada kaliankah…?

Ini kisah benar, cerita bahagia yang terukir, tertulis malah terlorek dalam kanvas hayat, ingin sekali aku pampangkan kepada dunia
Semuanya bermula dari ikatan kasih yang sah antara aku dan si dia
Lantas meninggalkan satu anugerah yang tiada ternilai
Ianya teratur indah tanda tautan untaian kasih antara kami yang tidak pernah terlerai
Tanpa disangka, kau menghuni secara tiba-tiba di dalam kantung rahimku

Sungguh ajaib kehadiranmu dalam hidupku
Saat itu, kau bernafas seiring dengan nafasku
Belaian dan usapan manja seringkali aku berikan padamu, agar kau mengerti makna kasih yang mendalam terhadapmu
Seringkali sapaan lembut kuhadiahkan padamu…
Agar kau tahu bahawa aku terlalu bersedia menyambut kehadiranmu
Aku sering mengalunkan surah Yusuf, Luqman dan Maryam
Harapanku, semoga kau dilahirkan seindah dan seceria wajah Nabi Allah Yusuf,
agar dirimu mewarisi kebijaksanaan cendiakawan Luqman Al-Hakim
Serta hatimu kan dihiasi secangkir mewangi keimanan Maryam wanita suci
Moga kau menjadi setabah Sumayyah dan sesopan puteri kebanggaan Rasulullah, Sayidatina Fatimah

Kau menghirup lembut pawana dingin yang berpuput, damai ke ronggamu
Kau menghilangkan dahaga kasih dari sumur jiwaku
Dari kasih dan cinta dari aku dan papamu, kau sempurna membesar
Saat pertama kali kau melihat dunia nyata, aku terpana
Rengekmu begitu mendodoi perasaan, mendamaikan jiwa dan sukma hatiku

Nur Aryanna Emelda…cantik sungguh nama itu, indah sungguh susunan bait-bait huruf yang kugunakan untuk membentuk namamu, sayang!
N-U-R  A-R-Y-A-N-N-A  E-M-E-L-D-A! Ah! Benar sayang!
Namamu terlalu indah untuk aku gambarkan dengan kata-kata
Tetapi 16 huruf bertuah itu telah membuktikannya
Sesiapa pun yang terpandang dan menyebut namamu pasti akan terpana kerana keindahannya
Dan sesungguhnya dirimu sayangku, pastinya seindah apa yang digambarkan melalui bait-bait huruf yang membentuk namamu

‘Mama’, itulah kalimah pertama darimu yang menggetarkan sukmaku, menggoyangkan tangkai hatiku
Saat yang paling indah bila bibir mungilmu menghadiahi ciuman padaku, sungguh indah!
Tidak dapat kutahan mutiara putih dari gugur tika mengingatimu, aku benar-benar menyayangimu sayangku!
Rindu menerobos kamar hatiku, menggigit naluriku, betapa aku rindu menatap wajah comelmu tika kau tiada di sisi
Hanya sonata rindu yang mampu merawat kerinduanku terhadapmu
Sayang, sesungguhnya segala-galanya telah aku curahkan buatmu
Moga-moga kau sayangku, bakal menjadi wanita idola bertakhta srikandi meladeni semangat jitu dan utuh milik diri Aisyah r.a., wanita yang terdidik dari madrasah suci Rasulullah s.a.w.
Mungkin inilah anugerah terindah dari-Nya untuk kumiliki
Sesuatu yang tak pernah aku temui sewaktu menjalani hidup bersendirian dan sebelum hadirnya dirimu dan papamu…


(7.27 p.m.-8.24 p.m. 5 Mei 2005)

DIA DALAM KEAMANAN (Di Jogja Tercinta)


Pagi nirmala, awan comel berambal-ambalan di langit
Cahaya matahari segan silu menembusi awan lalu tersebar ke serata permukaan bumi
Udara segar metah, bebas dihirup semahu-mahunya
Sesungguhnya, keindahan alam saat ini tidak tergambar hanya dengan kata-kata
Ah! Alangkah indah cuaca panas ini di Yogja!

Tatkala senja, sungguh indah…matahari perlahan-lahan terbenam
Akhirnya perlina
Di sudut itu, dia bersendirian
Hatinya karam dalam samudera hampa
Namun keindahan saat ini masih dapat difahaminya
Dia terlalu faham erti segalanya
Setiap gerak-gerinya ada maksud tersendiri
Memang seharusnya saat ini menjadi ketenangan buatnya
Malam masih terlalu muda
Namun, bintang-bintang yang bergelantungan di dada langit sudah wujud
Di satu sudut, ada belantik yang cantik
Dia nampak cahaya indah itu, dia nampak petunjuk arah itu
Kehampaan dan kesedihan yang dirasai tadi lenyap ditelan kedamaian hatinya
Sememangnya ketenangan dan keamanan telah ditemuinya

Di lapangan (Yogja) itu…
Sebutir mutiara tanpa warna jatuh dari kelopak matanya yang sirna cemerlang
Sendunya memecah jurai embun pagi yang masih membasah
Lantas seperti seringnya aku akan segera datang untuk membelai rambut dan jemarinya
Untuk sejenak waktu, sendunya terhenti
Wajah lembutnya kembali bercahaya tenang, tetapi hanya seketika
Begitupun, hatiku tak pernah bimbang kerna aku telah mengerti
Dia dalam keamanan, air matanya lahir dari kedamaian jiwanya

Nafasnya teratur tika bayu itu bertiup
Angin kepiluan berlalu buat seketika
Sempat juga dia mengingati bisikan syahduku
Lalu, segala persoalan pedih tertelan dalam keamanan diri ditemani azimatku
Ada keamanan yang dapat dilihat melalui kelembutan wajahnya
Imbasan kuntum-kuntum senyum tercerna di bibirnya sewaktu mengingati apa yang dia alami kini…
Ternyatalah…dia kini dalam keamanan!


(9.59 a.m.-10.01 p.m.3 Jun 2003)

CUBALAH SETIA,KEKASIH...


Biar aku di sini menanti gema cintamu
Biar aku di sini mengarang lembaran rindu buatmu
Biarlah aku di sini menemui sendiri kepuasan cintaku
Walau kau berkali-kali merebahkan keutuhan cintaku

Jernihkanlah hatimu agar dapat kau kenal sucinya kasihku
Rakamkanlah saat pertemuan cinta kita berdua di dalam mindamu
Kasih, apa lagi yang perlu kubuktikan padamu bahawa aku amat menyintaimu
Jika ada lagi cara hikmat yang lain untuk kau mempercayaiku
Sampaikanlah ia padaku agar dapat aku gapaikannya untukmu

Kasih, mungkin tiada secalit kesan padamu sewaktu kita berdua melayari cinta
Namun bagiku, ia menghadirkan erti keindahan yang tak dapat diungkapkan dengan kata
Kedamaian melingkar hatiku tatkala jemarimu menyentuh tubuhku
Menjadikan kehidupanku erat bertaut cinta kasih

Kekasih, sesungguhnya telah kubersumpah bahawa
Terkutuk aku bila melepaskan segala cintamu itu
Terhina diriku jika menyekutukan kasihmu dengan yang lain
Walau kau mampu untuk menduakanku
Kan kubertahan dengan cinta ini buat selama-lamanya

Kekasih, malam hiba sebegini memahami perjalanan hatiku
Merinduimu bagai menanggung beban yang paling berat
Namun rela kupujuk hatiku agar terus tidak berhenti menyintaimu
Maka terangkanlah sejujurnya kepadaku
Bagaimana caranya untuk kau mengerti ketulusan cintaku

Cintaku tak sehebat dunia yang sentiasa berubah
Namun, akan kucuba menjadi seperti Hawa yang setia menanti Adam meskipun terpisah di dunia lain
Dan kekasih, cubalah setia padaku
Cubalah untuk memahami dan menerima kasihku…


(9.10 a.m.-9.20 a.m. 20 Ogos 2004)

CINTA MEGA


Hari itu mungkin menjadi detik indah yang kan tertanam sampai bila-bila dalam fikiranku
Dia satu-satunya jejaka yang mampu menghadirkan kembali ‘cinta’ dalam hidupku
Mungkin tertakdir ‘Dia’ adalah anugerah dari-Nya untukku
Bukan sekadar menghadirkan rasa ajaib itu, bahkan ‘Dia’ mencipta episod baru dalam seluruh hidupku
Di celahan pucuk yang tumbuh, ‘Dia’ di antara yang subur menghijau
Mekarnya bukan melata di tanah rata tetapi menghijaukan laman jiwaku yang sebenarnya kesunyian

Sungguh, aku mengaku bahawa hati ini berjaya ditaklukinya
Dan sungguh, aku merelakan cinta ini menjadi miliknya
Aku jua sepertinya, menyintai dan memujanya sebagai pencintaku
Tiada walau sekelumit pun hitam yang kupalitkan dalam inti cintaku padanya
Biarpun jarak sentiasa menjadi tembok untuk selalu bersua
Biarpun aku tak berpeluang mencium bau wangi kasihnya tika dia tiada di sisiku
Sesungguhnya definisi kasih terhadapnya cukup luas untuk dirungkaikan

Sukar untuk aku tafsirkan erti kebahagiaan yang mendiami segenap jiwa
Seluruh hidupku ditawan dengan ketulusan kasih sayangnya
Benar, setiap kali aku mendampinginya, terasa diri ini dikepung dengan kawat-kawat keselamatan yang tidak goyah
Setiap kali menatap wajahnya, terasa keberuntungan diberi peluang memiliki cintanya
Setinggi langit yang sukar digapai, setinggi itu jugalah harapan kasihku padanya
Kerna ‘Dia’ insan terindah yang pernah kutakluki, ‘Dia’ lelaki terhebat yang pernah memelukku dan ‘Dia’ jejaka termega pernah kudapatkan…


(11.59 a.m.-1.02 p.m. 17 Jun 2007)