Kalau ditanya pada aku, apakah
hajat yang paling sekali aku ingini, aku mampu katakan satu sahaja. Aku ingin
bertemu dengan Tuhanku. Jangan salah faham maksudku ini. Pasti ramai yang akan
berkata “Ah kau itu solat pun belum terjaga sempurnanya”, “Kau itu manusia
hina, penuh dengan dosa, auratnya pun tidak bertutup”, “Lupakan saja hasrat
kau. Tuhan tak ingin mau berjumpa dengan manusia selayak engkau”. Aku mau
tanya, siapa saja di dunia ini tak sudi untuk bertemu Tuhannya? Siapa? Ada?
Tapi kalau ditanya pada aku, memang menjadi hasrat aku yang tertinggi untuk
bertemu Tuhanku. Aku mau mengadu, aku mau bertanya, aku mau berkongsi segala
rasa yang aku rasakan, aku mau merayu kepadaNya supaya masukkanlah aku ke dalam
JannahNya, sebaris dengan orang-orang yang Dia kasih. Namun, aku ini manusia
hina. Manusia yang terpalit dengan segala macam dosa. Malunya aku, solatku
masih lagi koyak di sana sini tapi aku beriya mau jumpa sama Dia. Maukah Dia
bersua dengan aku?
Lalu,
aku tekadkan hati untuk mencari Dia. Di
setiap sujudku, aku mohon dipertemukan dengan Dia. Aku menangis semahunya,
merayu sesungguhnya setiap kali aku bersujud merendahkan martabat aku sebagai
makhluk ciptaanNya . Di setiap apa yang aku buat, tak pernah aku lupa untuk
menyebut namaNya dan memujiNya. Tapi, aku manusia. Manusia biasa yang tidak
maksum seperti Muhammad saw. Di setiap kali itu juga, seringkali aku lupakan
Dia. Aku malu sebenarnya untuk mengakui pada umurku yang menginjak 27 tahun,
solatku masih lagi compang camping rabak sana sini. Allah, aku malu! Aku sering
mempersoalkan dan bertanya dalam hatiku, kenapa begini dan kenapa begitu? Aku
manusia yang selalu alpa dengan nikmat yang Dia beri percuma. Dia beri aku
pekerjaan yang bagus, kawan-kawan yang penyayang, kehidupan yang indah serta
banyak peluang yang cerah untuk kehidupan aku tapi kenapa aku selalu melupakan
Dia? Kenapa aku tidak mampu untuk berdamping dengan Dia selalu? Dan buat
kesekian kalinya, ‘jiwa’ aku hilang. Lagi. Aku terus alpa dengan kehidupanku
sendiri walaupun masih lagi aku berpaut pada Dia.
Tanggal
15, 16, 17 dan 18 Mei 2014 memainkan peranan paling penting dan besar dalam
sejarah kehidupan aku. Pada tanggal itu, aku dan teman-temanku telah
menjejakkan kaki di kota Bali, Indonesia untuk tujuan bercuti dan lari dari
kebisingan kota metropolitan asalnya. Di Bali, rupa-rupanya aku ditakdirkan
‘berjumpa’ Dia. Aku bertemu dengan ‘jiwa’ aku. Aku kecap apa yang selama ini
hilang dari jiwaku. Ah, bagaimana aku harus memulakan bicara bahawa
sesungguhnya ‘jiwa’ aku ada di sana! Cukuplah aku katakan, sesungguhnya
berkenalan dengan keindahan alam dan budaya-budaya asing membuatkan jiwa akan
dekat dengan Tuhan, membuatkan kita akan menginsafi betapa kerdil dan hinanya
kita ini sebagai hambaNya. Aku merasakannya. Usai saja menjejakkan kaki di
Gunung Berapi Batur Kintamani, air mata aku jatuh. Sengaja aku menyisihkan diri
seketika dari teman-temanku untuk aku berbicara sendiri sama hati. Di hadapan gunung
berapi itu, aku terpaku. Tuhan, betapa besar kekuasaanMu sampai mampu buat hati
aku terpana dengan kecantikan pemandangan di situ. Lalu, minda aku diasak
dengan bertubi-tubi persoalan. Kenapa selama ini aku tidak mampu menyedari
bahawa segala apa yang ada di sekelilingku itu bukti kebesaranNya? Kenapa mesti
di sini?
Hari
kedua di Bali, aku hati aku bergoncang lagi. Telah ditakdirkan olehNya kami
diberi ‘supir’ yang begitu bagus mindanya. Aku katakan mindanya bagus kerana
kata-katanya bukanlah ‘kosong’. Mungkin pada pelancong-pelancong lain yang
pertama kali menjejakkan kaki di Bali akan banyak bertanya tentang
tempat-tempat menarik di situ. Tapi aku, jiwa aku lain. Jiwa aku pelik. Syukur,
teman-temanku juga berkongsi jiwa yang sama dengan aku. Dengan supir, kami
bercerita tentang Tuhan, tentang alam, tentang manusia, tentang politik dan
tentang hidup yang nyata telah ditakdirkan oleh Dia. Hampir semalaman aku
berfikir, kenapa di tanah ini Engkau temukan aku wahai Rabb? Saat menjejakkan
kaki di Pantai Pandawa, hampir luruh hati aku dibuatnya. Tergamam aku di depan
birunya pantai di situ. Di telingaku, seolah-olah terdengar ombak laut saling
menyahut memuji kebesaran Dia. Kala teman-teman mandi di laut, aku mengambil
keputusan untuk bersendiri. Aku pandang tepat ke laut. Aku nampak aku yang
kerdil. Aku nampak aku sebagai manusia yang paling kotor, tak setara langsung
kalau ingin dibandingkan dengan kecantikan Pantai Pandawa. Sesungguhnya Rabb,
aku jatuh cinta padaMu di situ. Sungguh!
Sebenarnya,
dari malam pertama kami tiba di bumi Bali aku sudah pun dapat merasakan ada
getaran di jiwaku. Malam itu, kami dibawa oleh supir untuk makan di sebuah
Restoran Wong Solo di Kuta. Sesampai saja di restoran itu, hati aku terdetik,
“tempat ini ada sesuatu”. Tapi aku tidak tahu apakah ‘sesuatu’ tersebut, cuma
aku dapat merasakan bahawa tempat itu seolah-olah diberkati. Rupa-rupanya di situ tempatnya kami berempat
mula berbicara tentang Tuhan dengan tanpa sengaja. Apa benar mahu menikmati
makan malam pun boleh berbicara seserius-seriusnya tentang Tuhan? Ya benar,
topic bicara kami malam itu memang berat. Kami berbicara tentang mati, tentang
turunnya dajjal, tentang betapa kita hanya perlu merujuk kepada al-Quran dan
as-sunnah dan tentang rahsia Allah dalam surah ar-rahman. Malam itu, aku
terkesan dengan topik maksud ‘Bismillahirrohmanirrohim’. Percayalah, kalimah itu
saja cukup membuatkan aku gerun. Dan malam itu, tidurku bertemankan dengan
ingatan kepada Dia.
--Dari Lady Rose yang penuh dengan cinta yang selalu merindukan Bali dan siapa saja yang mendiami tanah Bali. #ForBali -- 5 June 2014
No comments:
Post a Comment