Mungkin agak klise kalau disebut senario politik di Malaysia
semakin kotor. Namun itulah realitinya. Realiti mengenai situasi sebenarnya
politik di Malaysia kita. Satu yang mungkin ramai yang masih lagi tidak
menyedari bahawa politik di Malaysia berada di takuk yang menggerunkan! Kita
tidak mahu pepatah ‘menang sorak kampung tergadai’ digunakan untuk
menggambarkan betapa kotornya permainan politik di Malaysia kini namun
sekiranya berterusan, maka pepatah inilah yang harus diguna pakai. Saya selalu
mendengar orang bercakap ‘politik tidak kotor tapi orang yang di dalam politik
itu yang kotor’. Dan saya perlu untuk mengakui perkara tersebut kerana ada
kebenaran di sebaliknya apabila kita memerhati secara telus.
Lihat
sahaja pada perkembangan negara yang terkini. Satu demi satu permainan politik
diatur oleh mereka yang sememangnya telah sedia mahir dalam arena ini.
Kedua-dua parti bertelagah, masing-masing sibuk mempertahankan prinsip
tersendiri sehingga sanggup membuka aib individu tertentu. Politik kita sudah
semakin tidak telus. Semuanya saban hari hanya bersandarkan pada populariti,
nama, pangkat, dan pujian semata. Maka kita tidak seharusnya marah apabila
rakyat mula membuat persepsi sendiri dengan mengatakan bahawa ahli politik di
Malaysia berpolitik kerana hanya inginkan wang! Kesucian parlimen juga sudah
tercemar apabila masing-masing membelakangkan rasa hormat kepada parlimen
dengan membuka aib masing-masing dan bertikam lidah ketika sidang sedang berlangsung.
Itu realiti situasi politik di Malaysia pada masa kini dan itu juga yang kita nampak dengan mata kita
sendiri.
Hasil
daripada kekotoran di dalam politik itulah maka lahirnya perhimpunan Bersih
3.0, isu polis ganas, video seks haram, songlap duit kerajaan, penipuan duit
rakyat dan banyak lagi isu yang ada sesetengah darinya hanya dipandang sepi.
Kita sibuk melayan isu sensasi, isu yang sepatutnya? Abaikan sebentar isu-isu
lapuk seperti video seks haram, banyak lagi isu yang lebih penting iaitu isu
gula, minyak, gaji dan apa sahaja yang berkaitan dengan ekonomi dan keharmonian
negara. Satu yang kita perlu sedar dan buka mata luas-luas, Malaysia ini negara
Islam. Jangan hanya kerana politik semata-mata, negara kita lantas menjadi
seperti apa yang berlaku di Mesir dan Iran. Mahukah kita menjadi seperti rakyat
Palestin yang masih lagi berdepan dengan peperangan serta keganasan selama
berpuluh-puluh tahun? Hanya kerana sibuk memperjuangkan politik kotor kita,
maka rakyat seharusnya menerima nasib seperti rakyat Palestin? Kita tidak mahu
suasana ini berlaku di Malaysia. Dan kita tidak mahu juga peristiwa 13 Mei 1969
berulang di Malaysia.
Mereka
yang berada dalam politik itu perlu sedar sendiri. Mereka perlu buka mata dan
lihat kesan yang akan terjadi akibat permainan kotor mereka. Kerajaan perlu menunaikan
apa yang telah dijanji kepada rakyat, bukan hanya berlumba untuk memenangi
pilihanraya akan datang lantas menumbangkan pihak pembangkang. Selepas tsunami politik yang melanda negara pada
pilihanraya umum tahun 2008 di mana pembangkang (Pakatan Rakyat) menidakkan
majoriti 2/3 yang telah lama dipegang oleh kerajaan persekutuan (Barisan Nasional),
dapat dilihat berlaku perubahan struktur kepimpinan politik kerajaan yang mula
kehilangan sokongan (sewaktu pimpinan Pak Lah), terutamanya dari golongan muda
dan kawasan bandar yang menjadi nadi utama dalam pengukuhan ikatan kerajaan .
Sejak Dato’ Seri Najib mengambil alih negara, pelbagai strategi dilancarkan
untuk menarik kembali sokongan rakyat. Media alternatif menjadi pemangkin
utama. Kedua-dua pihak mula menyerang. Masing-masing ada senjata sendiri.
Pelbagai isu digunakan untuk meraih undi. Elemen 'penurunan harga minyak' dan
'bantuan rakyat 1Malaysia' digunakan secara maksimum oleh kerajaan. Yang pasti,
rakyat semakin bijak untuk menentukan masa depan negara. Walaubagaimanapun,
pembangkang dilihat tidak konsisten dalam memperjuangkan manifesto mereka. Ini
disebabkan pelbagai isu seperti rasuah, skandal, perbezaan pendapat dan
lain-lain membuat rakyat kurang berkeyakinan untuk menyokong mereka. Akhirnya,
lahirlah satu kelompok yang tidak memihak kepada kedua-dua pihak. Mereka adalah
golongan terpelajar yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan bijak dalam
membuat perbandingan. Mereka juga disifatkan sebagai golongan 'atas pagar' yang
menganggap mengundi tidak menyelesaikan masalah. Secara pemerhatian tidak
langsung, kedua-dua pihak mempunyai peluang 50-50 dalam pilihanraya yang akan
datang.
No comments:
Post a Comment